02 Ogos 2016

BACAAN KENCING MANISKU

Bismillahirrohmanirrohim..

     Sabtu lepas ada jamuan Aidilfitri di taman ibuku. Maka aku pun mengambil kesempatan pergi dan makan pelbagai juadah. Sebelum Sabtu, hari Rabu tu jamuan raya di Pejabatku pula. Pun pelbagai juadah masuk ke perut ini. Sudah pastilah lemang dan ketupat bersama kuah rendang dan tak dilupa juga puding segala bagai berserta kek-kek manis sebagai penyeri hidangan. Mengenangkan juadah sebegini hanya setahun sekali sahaja maka pastilah aku merakamkan kemanisan juadah ini melalui mulutku agar menjadi kenangan manis-manis belaka. 

    Maka seperti mana banyaknya kemanisan yang bertandang maka setinggi itulah bacaan diabetesku apabila membuat ujian kencing manis pada Ahadnya pula. Bacaan 12.3 membuatkan suamiku menjerit dan ternganga. Pucat lesi muka aku. Tak pernah terfikir akan merakam bacaan setinggi itu, paling tinggi pun mungkin 5 lebih sahaja. Kali ini dah setahun lebih belum pernah buat ujian ini dan berat badan pun bertambah maka bacaan itu sangat tidak cantik. Dan aku mula menyalahkan kemanisan dan segala yang manis-manis kualami sepanjang Syawal ini.

     Dari hari Ahad selepas ujian itu sehinggalah pagi tadi aku agak murung. Pelbagai fikiran datang ke kelapa ini. Terbayang suntikan doktor, katil hospital dan anggota badan yang bernanah. Suami juga mula marahkan aku, mengungkit balik semua sikap aku yang suka berlebih-lebihan dalam masakan manis. Sehinggalah pagi ini, suamiku membuat ujian kencing manis lagi dan ALHAMDULILLAH bacaanku dah turun kepada 6.4. 



      Aku rasa menyesal. Rasa macam nak bertaubat. Cukuplah sekali tu saja bacaan itu amat merengut hatiku. Aku nak kawal manis selepas ini, Insyaallah. Pemakanan aku selama ini memang ditahap bahaya. Bukan saja aku malahan keluarga aku. Anak-anak aku pun aku biarkan bergelumang dengan kemanisan. Ya ALLAH izinkanlah kami kurangkan kemanisan dalam makanan dan lebihkan kemanisan dalam beribadat. Ampuni kami Ya ALLAH. 

Syukur alhamdulillah.