Syukur kepadaMu Ya Allah diatas nikmat yang Kau berikan.
Hari ini anakku Aimil akan bersunat dan melengkapkan satu kitaran seorang lelaki Mukmin, Insyaallah. Suamiku agak lewat booking penyertaan Aimil dalam Majlis sunat yang bakal disertai oleh puluhan malahan beberapa majlis yang lain sehingga seratus lebih penyertaan bersunat anak-anak lelaki Muslim. Sekurang-kurangnya kos boleh dikurangkan dari situ. Mungkin kerana terlalu sibuk bekerja suamiku terlepas pandang tarikh pemilihan kami bersunat dan juga sibuk dalam urusan kemasukkan ke rumah baru kami yang telahpun dapat kuncinya, maka hari ini 20 November 2014 dipilih sebagai tarikh sunat Aimil di sebuah klinik swasta Klinik Perubatan Zalfa di Kamunting,Taiping.
Mulanya Aimil asyik berkata lambatnya nak sunat ni mak? tapi bila pintu bilik doktor dibuka dan namanya dipanggil Aimil terus genggam tangan aku.Aku kata hanya ayahnya saja akan teman. Dia angguk,lepas 5 minit lepas tu aku dengar dia menjerit kuat. Aku mula mundar mandir di depan pintu bilik sunat dia, 5 minit lepas tu lagi kuat dan 5 minit lepas tu suara ayah dia lagi kuat so aku pun terus ketuk pintu tu minta laki aku buka, mujur suami aku buka dan aku masuk tenangkan Aimil. Rupanya aku pun tak membantu jugak malahan makin teruk jadinya teriakkan Aimil bila doktor tu pun dimarahinya. Mujurlah doktor tu Dr. Zaliros Fadli amat tenang orangnya. Mungkin banyak pengalaman dalam menyunatkan budak lelaki.
Akhirnya sebab 'drama' dari Aimil hampir sejam jugak baru prosedur tu berjaya. Aku sendiri hampir kabur pandangan dan nak terjatuh sebab rasa sesak nafas. Manakan tidak, aku rasa macam terkejut denagn jeritan dan sikap luarbiasa dari Aimil yang menjerit sekuat hati dan memeluk erat leher aku sampai aku susah nak bernafas tadi bagi mengatasi rasa takutnya. Tudung aku pun hampir nak tercabut dan melayang dibuatnya. Malahan aku benar-benar pasti yang aku tidak dapat memandu kereta kerana masih panik dengan keadaan tadi.
Aku lihat Aimil betul-betul tenang dan banyak termenung dalam perjalanan pulang ke rumah. Masuk saja rumah dia seolah-olah terus lupa kesakitan dan kesengsaraan yang baru saja dialaminya tadi. Dicapainya Tab Hitam dan ketawa bila tengok drama kartun dalam YouTube. Bertuah punya anak..Namun syukurlah semuanya selamat.
Aku sempat bertanyakan doktor adakah hanya dengan anakku saja dia alami kesukaran untuk disunatkan. Doktor kata ada yang lagi teruk, habis melayang semua barang dalam bilik, ada yang jatuh dari katil dan lagi teruk ada yang terus lari keluar dari bilik dan sembunyi dalam bilik air!!!.Masyaallah, kurang sikit keresahan dalam hati aku dengan perangai anak aku tu, Aimil pun tak henti-henti minta maaf atas perangai dia tu..mujurlah, Aimil pun nyaris nak jatuh dari katil tadi berkali-kalilah jugak. Kalau terjatuh memang jadi bahan ketawa kamilah untuk bertahun-tahun lagi. Fuh..nasib baik anak lelaki sorang je!!! Syukur semuanya selamat, amin.