03 November 2014

SEPULUH TAHUN KAHWIN, TUJUH KALI PINDAH RUMAH !!..

Kegairahan nak masuk rumah baru membuatkan kami suami isteri sebelum nak tidur pun masih bercakap-cakap pasal hal rumah baru. Apa belum buat,itu belum cukup,ini masih kurang!! Kalau boleh kali ni semuanya nak lengkap. Tak mahu begitu biasa-biasa je macam rumah sewa sebelum nie..

       Mungkin aku ni memang kurang mengemas,atau mungkin tidak pengemas orangnya. Tapi yang pasti rumah aku sebelum-sebelum nie tak lah kemas sangat. Hingga sakit mata memandang pun ada. Itupun dah rekod papa kedana dah sebab dah 7 kali pindah..

      Selepas berumahtangga,rumah pertama aku di kuaters Taman Melati. Aku duduk di tingkat 2. Masa tu memang simple sangat isi rumah cuma ada katil dan almari saja. Beberapa bulan lepas tu jiran depan rumah jual set perabot RM50 je so adalah perabot sikit. Bila dah ada anak tu belilah meja makan pulak bukan apa supaya anak tak kacau makanan. Duduk rumah flat ni yang syoknya takde gangguan tikus dan angin menghembus pun banyak tapi yang tak syoknya lipas pun banyaklah sebab lipas boleh terbang sampai tingkat 4 pun boleh. Burung-burung pun suka hinggap awal-awal pagi lagi. 

       Lepas tu kami berpindah ke Negeri Perak bermulalah edisi rumah sewa dalam hidup aku. Kami sewa rumah di Taman Desa Aman jugak setaman dengan rumah mak aku. Bukan apa senang nak hantar anak ulangalik ke rumah mak. Masa ni sewa pun murah je dalam RM 230 sebulan. Sebab bentuk rumahnya memang rumah asal lansung tak renovate sampai nak pinjak lantai bilik air pun gelilah  sangat..alahai maklumlah 30 tahun punya simen. Akhirnya kami pasang jubin sendiri. Tapi tak lama kami duduk kat situ adalah dalam setahun sebab lepas tu gatal pulak nak berpindah ke rumah sebelah. Bukan apa sebab tuan rumah datang bawak durian dok bodek-bodek kami suruh pindah rumah dia, Minta tolong jagakan katanya. Dia nak pindah ke negeri sembilan pulak dan..memikirkan rumahnya dah direnovate sepenuhnya dapatlah rumah luas sikit kami pun berpindah dengan sewa yang cuma tambah 20 ringgit je dari rumah sebelah. Rumah ke tiga kami.

      Tapi nak kata menyesal pindah pun ada. Akibat kegelojohan kami yang menyangkakan sesuatu yang indah dari luar tu rupanya tak semestinya indah di dalamnya. Itulah yang kami alami, Tambahan pula dalam proses mengangkut barang untuk berpindah tu aku tak sedarpun yang aku sedang mengandung. Aku mengangkat almari 3 pintu berdua je dengan suami, Meja dan kotak-kotak pun aku angkat sendiri dengan suami. Maklumlah nak pindah sebelah rumah je, Rupa-rupanya aku sedang mengandungkan anak kedua kami. Mujurlah tiada apa-apa yang buruk berlaku. Aku kirakan baru beberapa minggu je usia kandunganku. Syukur kepada ALLAH di atas pemeliharaanNya. 

      Walaupun rumah mak cik ni dah dipanjangkan dapur sampai kebelakang tapi dengan kami yang cuma 2 dewasa dan seorang anak kecil terasa besar betul rumah ni. Kadang-kadang gema suara kami lebih bising dari suara. Cahaya matahari pun kurang menyuluh kerana dah alami renovation yang tidak memikirkan kemasukkan cahaya kedalam rumah. So minggu pertama selepas berpindah kami sekeluarga alami muntah-muntah dan cirit birit yang amat teruk sekali. Bayangkan suami isteri dan anak serentak alami "keracunan ruang udara" lebih kurang 3 malam berturut-turut. Kesian betul kat anak aku tu..malam pertama tu 7 kali kami tukar cadar sebab dia cirit teruk sangat. Kami percaya rumah tu dah teruk berkulat berdasarkan bau yang loya semacam je bila berada di ruang tamu.. Tapi rezeki dengan rumah ni pun tak lama adalah dalam 9 bulan akhirnya kami kena berpindah jugak sebab tuan rumah nak jual rumah ni. Kami dengan leganya angkat kaki sebab tak teringin lansung nak beli rumah ni, Terlalu banyak bahagian dalam rumah yang perlu dibaiki kerana masalah anai-anai dan reput yang sangat teruk seluruh rumah. Dan bau loya tu tetap meguasai rumah sehinggalah hari terakhir kami dirumah itu.

       Selamat tinggal Taman Desa Aman. Kami berpindah pula ke rumah ke-empat kami di Taman Pengkalan Timah yang agak jauh juga halanya dari taman rumah mak. Tapi sebab boleh ikut jalan belakang taklah terasa jauh sangat. Kali ni kami berpindah ke rumah teres yang baru 2 tahun dibina. Tuan rumah dah berpindah ke Kuala Lumpur. Sewanya RM 300 sebulan. Dapurnya kecil sangat hingga ruang nak potong bawang pun tiada. Tapi kami gembira kerana semuanya serba baru, bau rumah tu pun masih baru..hihi tapi tetap rumah orangkan!! Nak hias indah tu taklah sangat. Tambahan pula aku baru saja melahirkan anak perempuan yang perlu diberi perhatian lebih. hehe!!

       Dan akhirnya setelah setahun di rumah itu dengan jiran yang sangat baik akhirnya aku terpaksa juga melangkahkan kaki meninggalkan Ipoh dan berhijrah ke rumah ke-lima kami di Taiping pula. Semuanya kerana mengikut suami. Kali ni suami diwajibkan duduk kuaters pulak tapi agak hulu jugaklah tempatnya iaitu Kuala Sepetang. Hehe..memang best duduk sini, suasananya dan kedamaiannya tetapi..aku gagal untuk memujuk diriku menyintai rumahku sendiri. Bentuk rumah yang berlorong ke dalam dan berusia hampir 50 tahun tu memang masih kekal dalam keadaan asalnya. Dinding rumah kami dibahagian bilik adalah terdiri dari dinding-dinding berlubang dan amat menakutkan. Betul-betul tak suka dengan suasana rumah JKR ala-ala British zaman 50-an tu. Tak suka!!tak suka!!...tikus bermaharajalela.

     Akhirnya 2 tahun jugaklah kami berdiam disini dan akhirnya kami berpindah bila suami ditukarkan ke bandar Taiping pula. Rumah ke-enam kami. Kali ni pun rumah sewa lagi, yang syoknya dekat sangat dengan pejabat. Kalau sebelum-sebelum ni semuanya di luar bandar hingga ambil masa berjam-jam untuk sampai ke oejabat tapi kali ni 5 minit je dah sampai. Sekarang dah 2 tahun mendiam rumah ni dengan sewa RM 270 sebulan. Rumah ni masih dalam bentuk asal dari kawasan yang dah 50 tahun didiami orang. Tapi syukur seluruh rumah dah berjubin dan dicat baru. Tapi suami aku tu masalah dia suka bawak barang dari rumah lama ke rumah baru, Patutnya boleh buang saja semua barang-barang dari rumah lama tu tapi nak juga dibawanya. Akhirnya berkotak-kotak yang dibawanya dari sebuah rumah ke sebuah rumah. Dan ini rumah ke-6 kami, Bayangkan berkotak-kotak dah dibawak dari sebuah rumah ke rumah yang baru masuk. 

       Akhirnya kami kini hanya menunggu masa je nak berpindah ke rumah baru. Rumah ke-tujuh kami. Rumah kami sendiri. Rumah yang kami rasa akan berbaloi kalau usahakan dan memperindahkan setiap sudut dan segi rumah itu. Sikit saja lagi masanya untuk kami mendapat kunci. 99% rumah tu dah siap dah, tinggal 1% je lagi entah dari mana masalah hingga masih tertangguh lagi urusan serah kunci. Dah lajak hampir 6 bulan dah pun dari tarikh yang dijanjikan. Ya Allah, Tabahkanlah hati ini menanti setiap detik untuk masuk ke rumah  baru. Amin Ya Robbal Alamin. 

Subhanallah... 10 tahun kahwin, 7 kali pindah rumah!!